Friday, April 04, 2014

Dendam Seterika Baju



Ahad malam Isnin, malam yang ditakuti pelajar-pelajar junior macam Ucop dan Fawwaz. Para senior akan berlegar mencari mangsa untuk menyelesaikan kerja sekolah atau menggosok baju. Siapa yang berani merayau-rayau di koridor pastinya menerima padah. Macam Fawwaz. Hanya disebabkan teringin nak mengepau kek lapis dari dorm atas, dia sanggup keluar dari bilik dan mendedahkan dirinya kepada risiko. Akibatnya? 7 helai uniform sekolah untuk digosok dan 10 muka surat latihan Fizik untuk disiapkan sebelum Subuh esok.

Ucop bila fikir balik memang tergelak mengenang kegelabahan Fawwaz pada malam tu. 'Ini tak adil!' rintih Fawwaz semalaman sementara yang lain enak melayari tidur. Bangak, tu la ikut lagi nafsu perut, kutuk Ucop dalam hati.

Tak semena-mena Ucop rasa nak kencing. Menggelupur dia sarung selipar, memecut ke tandas. Bila dia nak melangkah masuk ke bilik selesai ke tandas, nama Ucop dilaung dari blok sebelah. Celaka! Jerit nurani Ucop.

Ucop memaki-maki dalam hati tatkala Mat Yen menghulur baju untuk digosok. 'Jangan ada double line ah' tutur Mat Yen dengan mata menyorot ganas. Harapan nak tidur awal lenyap begitu saja. Lagi sakit hati melihat Fawwaz enak terbongkang di katil bila dia melangkah masuk ke bilik.

Ucop baru aje menghidupkan seterika bila tersedar Cikgu Tengku sedang memerhati daripada daun pintu. Celaka, berapa lama dia ada kat situ? Senyap pulak tu,jangan nak pose ala Batman la woi, pelbagai monolog berlumba merentasi fikiran Ucop.

'Apasal berjaga lagi?' kata Cikgu Tengku, atau Kurap, nama kod berbau hinaan diberikan oleh penghuni hostel yang anti beliau. 'Nak iron baju...cikgu' gagap Ucop melihat Cikgu Tengku memeluk tubuh, dan pencahayaan koridor memberi mood suram dan ngeri. Cikgu Tengku hanya berdehem perlahan dan mendekati. 'Teruk betul skil iron baju kau ni. Cikgu ajar sekali ni je okey' tiba-tiba pulak dia baik hati.

Ucop diam aje sambil melihat baju Mat Yen digosok Cikgu Tengku, sebelum idea jahat menjelma dalam kepala. 'Terima kasih, Cikgu' lantas Ucop membawa baju siap diseterika tu keluar dorm yang mengundang hairan Cikgu Tengku. 'Kau nak pergi mana pulak?' kening Cikgu Tengku tegak sebelah. Ucop berpusing belakang sambil tersenyum keji, 'Nak pulangkan baju ni kat Abang Mat Yen, dia suruh saya gosok tadi'. Ucop yakin esok Mat Yen akan ada sesi temujanji dengan Penolong Kanan HEM disusuli sesi kaunseling. Itu ubatnya kalau kacau aku nak tido, jerit batin Ucop.

Sunday, March 30, 2014

Qiyam Waktu Malam

"Jangan lupa malam ni. Semua wajib datang! Assalamualaikum wbt." Abang Saiful mengakhiri sesi usrah beliau pada petang itu. Tegas tetapi masih berhemah.

Ucop berasa teruja. Tidak pernah lagi dia Qiyammulail. Dan dia juga baru diberitahu akan pahala orang yang bangun malam. Dia semakin teruja. Malam itu prep malam seperti biasa. Habis prep malam, Ucop bergegas ke kantin untuk sebungkus nasi goreng.

"Ucop, kejut aku tau nanti. Takut tak terbangun pulak. Jarang dapat tidur awal malam Sabtu ni..." kata Fawwaz sambil membetulkan kain pelikatnya. Lantas dia menutup suis lampu dorm dan terus ke katil. Tanpa diketahui mereka, Badan Islamiah (BADAI) telahpun meminta kerjasama pengawas untuk menangguhkan assembly supaya pelajar tingkatan satu dapat turun ke Qiyammullail malam ini.

"Bangun! Bangun! 15 minit semua mesti ada kat surau!" terdengar suara Abang Saiful memecah keheningan asrama Blok D. Pintu dorm diketuk bertalu-talu. Kelihatan beberapa orang pelajar yang tidur dengan memakai baju melayu terus bergegas ke surau.

"Ucop, diorang tak gosok gigi dulu ke?" tanya Fawwaz.

"Takpe, itukan bau wangian di syurga..." jawab Ucop.

"Tu orang berpuasa laaaaa bangang..." tempelak Fawwaz sambil memukul Ucop.

Di dalam surau, Abang Saiful menjelaskan tentang amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan ketika Qiyammullail. Dan pada malam itu, mereka akan mulakan dengan solat tahajud seterusnya solat sunat tasbih. Selesai solat tahajud, Abang Saiful terus bangun untuk mengimamkan solat sunat tasbih. Mereka semua tahu solat sunat tasbih akan mengambil masa yang agak panjang kerana setiap rukun solat akan di sertakan dengan bacaan tasbih.

"Usholli sunnatan...." Ucop membaca niat solat sunat tasbih. Dia cuba menghayati bacaan dengan penuh khusyu' dan tawadduk. Tiba-tiba "Bedebukkkkk......" Dengan tindakan refleks, Ucop terus berpaling ke sebelah kanan dan kelihatan Khairi, budak dorm sebelah telah terbaring di lantai surau.

Monday, January 13, 2014

Sam'iyat

Ucop resah. Jam di dinding menunjukkan waktu 10:30 pagi. Bermakna ada setengah jam sahaja lagi sebelum peperiksaan Pendidikan Islam ini tamat. Ustazah Maimun kelihatan sedang duduk di meja guru sambil mengemaskini buku rancangan pembelajaran beliau. Fawwaz kelihatan sudah lama tertidur di mejanya.

"Dah siap ke budak gemuk ni?" Getus hati Ucop.

Tetapi dia cuba untuk tidak berfikir banyak. Masalah yang dihadapi Ucop sekarang lebih besar. Soalan nombor 4, Ucop langsung tidak tahu.

4.1 Berikan maksud Sam'iyat.
4.2 Bagaimana untuk beriman dengan perkara Sam'iyat
4.3 Berikan 4 contoh perkara Sam'iyat

15 markah

Ucop terkedu. Dia memang tiada petunjuk langsung. Nak bertanya Fawwaz, budak gemuk tu lena tidur. Dah tentu Ustazah Maimun yang memang tajam derianya akan perasan nanti. Ucop serba salah. Terbayang nanti keputusan peperiksaannya yang bakal teruk.

"Malu la aku dengan Fazlin...arghhhh!" Ucop bermonolog lagi.

Ucop lantas menekup mukanya ke meja. Dan terlena.

"Pelajar, 5 minit sebelum waktu tamat." 

Ucop terjaga dek suara lantang Ustazah Maimun. Bak deja vu di Kinabalu, Ucop berasakan dia telah mendapat petunjuk ketika dia terlena tadi. Tanpa berlengah, Ucop memacu jari-jemarinya menjawab soalan berkenaan Sam'iyat tadi.

"Masa telah tamat. Saya kutip kertas kamu sekarang." Tenang Ustazah Maimun bersuara.

Ucop menghabiskan ayat terakhirnya di kala Ustazah Maimun melewati meja. Desas-desus dan bisik-bisikan mula kedengaran di sekeliling kelas. Ucop tidak kisah. Dia lantas bangun ke rak buku di belakang dan mencari buku teks Pendidikan Islam. Dicarinya tajuk yang berkaitan.

"Yes! Memang perkara ghaib!!!!" Jerit Ucop tiba-tiba dan seluruh kelas menoleh ke arahnya.

Monday, November 04, 2013

Request

"Siapa nak hantar request bole isi borang ni, next week masa minggu ELS kitorang hantar" Fawwaz terpinga pinga tatkala mendengar akak POD memberitahu seluruh kelasnya. Suara akak POD (Prefect on Duty, bertugas mengawal kelas sewaktu prep) yang sengau itu melenyapkan lamunan Fawwaz yg khusyuk memerhati sosok tubuh akak POD itu.

"Cis potong stim betul la.. baru nak usha akak ni sekali suara sengau daa" bentak hati kecil Fawwaz. Suara sengau akak POD itu memang tidak sepadan dengan tubuhnya yg ramping dan montok. Bak kata abg prefect dorm Fawwaz " Dia ni mcm jelmaan cikgu Mazlin lah!". 

Ucop yg teruja mendengar pengumuman akak POD itu terus pergi ke hadapan kelas mengambil kertas request. "Hmmm.. nak bagi kat abang angkat dia la tu" bisik Wak Parjo kepada Fawwaz. Fawwaz hanya mampu tersenyum sambil matanya tidak lepas dari memandang mata akak POD itu. " Mata kuyu akak ni, memang faveret aku. Bagi request kat dia best jugak" ujar Fawwaz dalam hatinya.

Setelah Ucop selesai mengisi borang request yg mana telah separuh diisinya, apa gila si ucop ni byk betul duit dia nak bg request, Fawwaz terus merampas borang itu dan terus menulis. " Ini kalau aku bagi request ni kat akak POD ni, sekali tulis dgn ayat aku amik mesti tangkap leleh la akak ni", fawaz tersenyum kekambingan. Fawwaz menghabiskan ayat requestnya dengan bait-bait puitis romantis. Fawwaz mengeluarkan wangnya dan terus membayar kepada akak POD tu.

Seminggu berlalu, maka bermulalah minggu ELS ni. Banyak aktiviti lagho yg telah dianjurkan oleh Kelab ELS ni di mana ia mendapat tentangan keras dari ustazah Nik Astria. Entah dari mana datangnya nama Nik Astria ni pun Fawwaz tiada ketahuan. Baginya cukuplah akak POD itu mendapat request darinya dan pergi lantaklah semua program ELS itu kerana ianya serba melalaikan.

Selesai prep malam Fawwaz, Ucop dan Wak Parjo bergegas ke kantin untuk membeli nasi goreng ibuk Misnahzamanhuri. Fawwaz berlari-lari anak mengejar Ucop dan Wak Parjo dan tiba-tiba Fawwaz terjatuh tersungkur lantas bergolek. Rupanya Fawwaz telah terlanggar sesosok tubuh yg besar lagi gelap. Oh, Fawwaz telah terlanggar abang Presiden PPI (Persatuan Pelajar Islam), abang Cikong. Abg Cikong sambil membetulkan serbannya," dah takde mata ke ha? berlari lari tak tgk depan!" marah abang cikong. "maaf abang, saya tak nampak abang, gelap kat sini.." jawab Fawwaz. Abang cikong terus beredar menahan amarahnya yang masih meluap.

Setelah kenyang menikmati nasi goreng ibuk Misnahzamanhuri, Fawwaz bergegas balik ke dormnya.Dia terkejut kerana mendapati abang Cikong telah berada di dalam biliknya. "Bahana apakah ini?" getus Fawwaz. 

"Hei Fawwaz! Aku tengok bukan main lagi ko bagi request kat Si Jasmin ni, apa ko ingat dia ni girlfriend ko ke?" tengking abang Cikong.
Fawwaz kehairanan bagaimana Abang Cikong boleh tahu akan hal request ni. "Errrmm takdelah bang.. saya cuma minat2 je kat akak tu.." jawab Fawwaz ketakutan.
"Aku tak tau mcm mane tapi si Jasmin dalam kelas tadi punyelah tersenyum baca request ko, aku bengang betul lah! Kau pergi bilik TV sekarang! " marah Abang Cikong.

Fawwaz terus bergegas ke bilik TV. 5 minit kemudian Abang Cikong datang dan terus menghampiri Fawwaz. Jantung Fawwaz berdegup laju "matilah aku kali ni, matilah aku".
Abang Cikong terus memegang bahu Fawwaz dan terus berkata " abang bukan ape Fawwaz, tadi abang berlakon je. Mcm mane ek nak buat ayat request power macam ko. Abang sebenarnya memang dah lama nak tackle si Jasmin tu".

Degupan jantung Fawwaz bagai hampir terhenti mendengar soalan abang Cikong. 

"Oh saya ingatkan abg nak pukul saya lah tadi. Cuak saya. Takpe bang, nanti saya bagi pinjam kaset N'Syncs, abang dengarlah sampai hafal ye. Saya amik ayat dari lirik lirik dorang je bang" jawab Fawwaz kelegaan. Janji tak tidur perut kesenakan sudahlah!



Tuesday, October 15, 2013

Terjun Tiruk Waktu Subuh

Musim kemarau tiba lagi. Asrama Jalan Tenteram yang terletak di atas bukit turut terasa tempiasnya. Bekalan air dicatu menjadikan kehidupan seharian para pelajar sengsara. Manakan tidak, sudahlah air tiada, lori tangki air bila sampai boleh pula parkir di dataran sekolah yakni di bawah bukit. Menggelupur para pelajar beratur nak ambil air. Pulak tu tandas bila takde air, baunya jangan cakaplah. Yang menulis ni pun kembang tekak mengingat kembali. Rungutan demi rungutan diajukan kepada pengurusan sekolah. Guru Penolong Kanan HEM jadi pening. Lori tangki air hanya boleh datang waktu petang sahaja, bermakna pagi-pagi pelajar sukar nak bersiap ke sekolah. Akhirnya beliau mengambil keputusan, para pelajar dibenarkan keluar ke tasik di hadapan sekolah untuk menggunakan kemudahan air di sana, dengan syarat tidak mengambil kesempatan untuk fly.

Subuh tu, Ucop dan Fawwaz bersiap-siap hendak ke tasik. 'Beb, dapat fly dengan kebenaran ni beb, best oo!' Ucop bersuara sambil menjinjit baldi berisi toiletries.Budak-budak ni masa Subuh pun semangat berapi-api, terutama dalam keadaan krisis macam ni, hairan betul. Ucop mengejutkan Acit, mamat paling liat nak bangun pagi untuk pergi mandi di tasik, tapi dibalas dengan dengkuran. 'Woi kau lambat kau pergi sorang-sorang' ugutan Ucop membuatkan Acit terbangun spontan.

Dari jauh, kelibat tiga budak tingkatan satu menuju ke Tasik Homo. Oh ni bukan nama rasmi tasik tu. Ia dipanggil sedemikian kerana ramai golongan homo berkeliaran di situ mencari mangsa selepas waktu Maghrib. John Wong, budak dorm sebelah pernah kena kacau sewaktu fly ke Pleasure Mall, sampai sekarang budak Cina tu insaf tak nak fly dah. Bait-bait lagu Westlife begitu kuat dinyanyikan Fawwaz, sambil sekali-sekala disahut Ucop. Acit masih separa sedar, sehinggalah dia nampak cahaya bulan terbayang-bayang di permukaan tasik. 'Powerrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr wooo tasik!' Acit jadi histeria dan cuba buka langkah. 'Woi jangan! Tak payah! Kita mandi kat pili bomba tu dah la, cepat sikit setel' tahan Ucop. 'Ahhh kau tak reti berenang kau mandi je la kat pili tu!' protes Acit lalu mencampak baldi toiletries, melondehkan semuanya tinggal boxer saja.

'TERJUN TIRUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUK WEHUUUUUUUUUUUUUU' Keceburrrr!Acit membuat terjunan signature beliau, yang boleh buat mana-mana hakim terjunan memberikan paling kurang mata 7.5 hingga 8. 'Segarnyaaaaaaaaaaaa' jerit Acit. Budak-budak lain tengok aje, malas nak sertai sebab hawa dingin Subuh menusuk tulang. Ucop dan Fawwaz menghabiskan 15 minit untuk mandi sebelum memanggil Acit naik untuk pulang ke asrama. Tak habis-habis Acit menceritakan keseronokan berenang di Tasik Homo tu. Ucop dan Fawwaz diam aje, malas nak layan satu. Sejuk pun satu hal.

Petang tu, mereka bertiga kembali ke tasik Homo. Acit paling bersemangat sekali....sampailah beliau melihat sendiri keadaan tasik tu dalam keadaan cerah. Berlumut, berkeladak, dengan macam-macam benda tak dikenali terapung di permukaan tasik Homo tu. Sepanjang beratur menunggu giliran, Acit tak berhneti-henti mencarut mengenang ketololannya terjun ke tasik tu membabi buta.


Friday, October 04, 2013

Pelan Mengelat

Fawwaz cukup tak suka bila datang musim bersukan di sekolah. Dia bukanlah jenis gemar nak buat aktiviti fizikal, kecuali berlari-lari anak ke dewan makan. Bagilah acara sukantara ke tarik tali ke hatta sorak rumah sukan ke, Fawwaz rasa ni semua merepek.

Jadi bila datang musim merentas desa Jalan Tenteram, Fawwaz rasa nak meroyan. Nak aje dia buat-buat kecemasan balik rumah, tapi dia tau warden takkan layan punya, terutama Ustaz Zaki yang weirdo, pada pandangan Fawwaz. Kurang ajar betul, mentang-mentang la ustaz tu selalu tertidur masa wirid, suka hati je nak panggil weirdo.

Malam sebelum larian rentas desa, semua rumah sukan membuat mesyuarat. Sebenarnya lebih kepada memberi taklimat, ucapan motivasi dan diakhiri dengan minum air garam. Tujuannya supaya takde ahli rumah kekejangan otot sewaktu larian. Selepas Azwan, kapten rumah Satria (rumah tercorot semenjak 6 tahun lepas) tamat memberi motivasi, ahli rumah berpusu-pusu minum air garam. Macam pesta layaknya. Fawwaz sebaliknya rasa nak muntah lepas minum air masin tu. Penyudahnya malam tu dia tidur dengan rasa baran. Ucop awal-awal dah barai tidur.

Siang berlabuh. Ucop pagi-pagi dah bersemangat sarapan lepas Subuh. Fawwaz sebaliknya rasa malas bertimpa-timpa. Dalam kepala dia ligat nak cari alasan skip larian.

Semua pelajar dah bersedia nak dilepaskan untuk larian. Fwoooooom! Bunyi airhorn bergema, semua pelajar bersepah memulakan larian. Macam kawanan lembu layaknya. Yang star atlit awal-awal dah meluru ke depan. Yang obes dan kurang cergas ketinggalan di belakang. Fawwaz pulak meluru ke satu lokasi. Ucop perhati je tapi hanya mendengus 'nak mengelat la tu, biol punya gemuk' lalu memecut sepantas kijang.

'Hahahaha bijak jugak aku kelentong quarter master tadi kata nak kencing' gelak Fawwaz dalam hati sambil berjoging riang ke tandas dewan sekolah.Ini adalah port biasa Fawwaz bila nak mengelak daripada aktiviti sekolah. Bau busuk semua tolak tepi, janji tak kena cekup.

'Lalala...anak haramm!' Terkujat Fawwaz bila bukak pintu tandas mendapati lebih kurang sedozen rakan-rakannya bersembunyi di situ. Nampaknya sini bukan port rahsia dia lagi. Mencarut-carut Fawwaz sepanjang 2 jam menyorok di situ.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Thursday, October 03, 2013

Naik Motor

Fawwaz cemas. Maghrib tadi dia tertidur di surau semasa zikir. Dalam keadaan separuh sedar dia terlentok ke dinding surau dan Abang Johan ternampak perbuatan itu. Kelihatan Abang Johan menjeling ke arah Fawwaz. Memang sudah menjadi rule of thumb hanya pelajar senior sahaja boleh menikmati keselesaan dinding surau.

Fawwaz protes di dalam hati. "Dinding surau ni kan milik semua orang. Kenapa senior je boleh sandar? Nanti mati sama-sama masuk kubur jugak!"

Fawwaz pergi ke prep malam seperti biasa. Jiwanya masih tidak tenang mengingatkan jelingan Abang Johan selepas Maghrib tadi. Fawwaz bertambah jengkel melihat Ucop gembira tidak tentu hala.

"Dapat request dari kakak angkat la tu" ngomel Fawwaz.

Prep malam sudah tamat. Kebanyakan pelajar meluru ke kantin untuk membeli nasi lemak atau nasi goreng. Skim membesarkan badan bak kata sesetengah mereka. Fawwaz berjalan longlai pulang ke asrama. Masih terbayang-bayang jelingan Abang Johan.

Sampai di dorm, Fawwaz terus menukar pakaian dan bersedia untuk tidur. Memang sudah menjadi kelaziman pelajar form 1 untuk tidur awal. Ini untuk mengelakkan daripada dipanggil pelajar-pelajar senior. Sedang Fawwaz sudah hampir merebahkan badan ke katil kedengaran suara Zainul seperti bergegas.

"Fawwaz, Abang Johan panggil kau datang dorm dia. Sekarang!" Zainul lantas berlalu pergi.

Fawwaz menelan air liur pahit. Ketakutan dan kebimbangannya sudah menjadi kenyataan. Dorm Abang Fawwaz di blok sebelah. Satu perjalanan yang "panjang" bagi pelajar junior. Fawwaz berat kaki melangkah ke dorm Abang Johan.

"Habislah aku malam ni..." kata hati kecil Fawwaz.

Sesampai sahaja Fawwaz, kelihatan Abang Johan sedang baring di katil. Fawwaz lantas memberi salam.

"Hah, tutup lampu tu..." Johan bersuara tanpa menjawab salam yang Fawwaz berikan.

Fawwaz bertambah gusar. Suis lampu dorm dicapainya dan dorm serta-merta menjadi gelap dan menyuramkan.

"Kau tau tak kenapa aku panggil kau malam ni?" Johan memecah keheningan.

"Tak tau Abang Johan." jawab Fawwaz walaupun dia dapat mengagak sebab Johan memanggilnya.

"Aku nampak kau selamba je sandar kt surau td. Dah rasa besar ke?" soal Johan serius.

"Saya terlelap tadi Bang..."jawab Fawwaz.

"Banyak pulak alasan kau. Dah...sekarang sebab kau dah langgar peraturan aku nak kau buat superbike." arah Johan.

Fawwaz memang memahami istilah "superbike" lantas dia membengkokkan lutut umpama menunggang motorsikal dan kedua-dua belah tangannya diangkat kehadapan.

"Nasib baik bukan Syafiq yang nampak. Kalau tidak lagi nahas kau. Kau buat superbike sampai aku tidur." Johan lantas mengambil novel Lagenda Budak Setan dan terus sambung membacanya. Sementara itu Fawwaz kekal di posisi menunggang motorsikalnya. Dia tahu esok dia akan berjalan kengkang.